MUAR: Perikatan Nasional (PN) Johor akan mengadakan mesyuarat berhubung kekosongan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada minggu depan.

Kekosongan luar jangka di kedua-dua kawasan itu susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddian Ayub, yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada Ahad lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat membabitkan ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) peringkat negeri itu dijangka berlangsung di Johor Bahru.

Bekas Menteri Besar itu memberitahu kekosongan kerusi di kedua-dua kawasan terbabit sudah dimaklumkan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mesyuarat Bersatu pusat pada Rabu.

"Kita sedia maklum bahawa kerusi DUN Simpang Jeram, calon Pas yang bertanding di situ, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lepas. Manakala di Parlimen Pulai pula, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditandingi calon dari Gerakan.

"PN Johor merujuk dengan kepimpinan pusat tentang parti mana yang akan bertanding di kedua-dua kerusi. Bagaimanapun setiap parti akan menghantar tiga nama calon untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan pusat," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong menambah mesyuarat kepimpinan PN pusat berhubung kekosongan kedua-dua kerusi di Johor akan disusuli selepas mesyuarat di peringkat negeri diadakan.

"Mesyuarat PN pusat akan diadakan selepas PRN enam negeri berakhir. Buat masa sekarang PN sedang sibuk dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

"PN Johor juga terlibat menghantar jentera parti bantu kempen PN Negeri Sembilan dan Selangor," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Ogos ini, bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

Salahuddin menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal pada 2018 dan 2022 selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Salahuddin menang majoriti 20,989 undi di Parlimen Pulai.

Salahuddin mengalahkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan Mohammed yang memperoleh 23,026 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong pula meraih 14,432 undi.

Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperolehi 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi dan calon BN, Lokman Md Don yang memperoleh 6,062 undi. - Sinar Harian